Bandar Raya Shah Alam ialah ibu negeri bagi Negeri Selangor Darul Ehsan, Malaysia. Bandar ini merupakan bandar ketujuh dirasmikan bagi negara Malaysia pada tahun 2000. Shah Alam, Selangor juga merupakan bandaraya yang paling berdekatan dengan bandar raya Kuala Lumpur. Jumlah penduduknya; 646 890 orang [1] dan dijangka meningkat menjadi 700 000 orang pada 2014 setelah siapnya beberapa projek perumahan dan sub-bandar di sekitar Shah Alam. Bunga rasminya ialah bunga Anggerik 'Renantanda Shah Alam' dan burung rasminya pula ialah burung undan. Secara rasmi Bandar raya ini digelar dengan gelaran 'Bandar Raya Anggerik'. Pada suatu masa dahulu, Shah Alam pernah terkenal dengan jolokan 'Bandar Perindustrian' kerana tertubuhnya banyak kawasan-kawasan perindustrian yang menempatkan sejumlah kilang-kilang multinasional sekaligus banyak menyediakan peluang pekerjaan dan ekonomi hingga mempercepatkan pertambahan bilangan penduduk dan kepesatannya.
Shah Alam yang pada ketika itu hanyalah ladang kelapa sawit dan hutan mula dibuka pada tahun 1963 bagi dimajukan untuk dijadikan pusat pentadbiran kerajaan Selangor yang baru setelah Kuala Lumpur dirancang untuk dijadikan Wilayah Persekutuan. Kuala Lumpur menjadi Wilayah Persekutuan secara rasmi pada tanggal 1 Februari 1974, yang kemudian tarikh 1 Februari disambut setiap tahun sebagai Hari Penubuhan Wilayah Persekutuan. Kebanyakan jabatan-jabatan kerajaan negeri Selangor yang berpusat di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur [2] mula berpindah ke Shah Alam, terutamanya setelah siapnya Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Pada 7 Disember 1978, atas perkenan DYMM Sultan Selangor ketika itu iaitu Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj Shah Alam diisytiharkan sebagai ibu negeri Selangor yang baharu. Malah nama 'Shah Alam' sendiri dipilih atas perkenan baginda.
No comments:
Post a Comment